http://smk-pangkor.yolasite.com/

PENTADBIRAN

  

KURIKULUM

SEJARAH SEKOLAH  

           Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor telah dimulakan pada 1 Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Pangkor yang mempunyai bilangan murid seramai 154 orang dan 8 orang guru. Sekolah ini telah menumpang pada ketika itu di bangunan SRJK(C) Hwa Lian 1, Pangkor pada sesi petang. Di samping 4 kelas (125 murid) Aliran Bahasa Inggeris, sekolah ini juga telah menguruskan 1 kelas (29 murid) kelas peralihan Aliran Bahasa Melayu dengan Encik Chong Tet Fah sebagai guru besar yang pertama.

 Bangunan baru Sekolah Menengah Pangkor yang mengandungi 10 bilik darjah, 1 makmal sains, 1 bilik seni perusahaan, 1 bilik jahitan, 1 bilik masakan, 1 bilik guru besar, 1 bilik pejabat, 1 pusat sumber, 4 tandas, 1 kantin dan 2 buah rumah guru kelas ‘G’ siap dibina dan digunakan pada bulan November 1966. Jumlah pelajar meningkat kepada 261 orang dengan bilangan guru seramai 13 orang.

Pada tahun 1967, kumpulan pertama murid-murid seramai 24 calon yang menduduki peperiksaan SRP telah berjaya mendapat 100% lulus. Mereka telah melanjutkan pelajaran ke Tingkatan IV di SMJK Methodist (ACS), Sitiawan. Peperiksaan pertama LCE diadakan pada tahun 1968 dengan jumlah 50 calon.

Berdasarkan pertambahan murid yang pesat di sekolah ini, pihak kerajaan telah membina bangunan tambahan pada tahun 1978. Bangunan 1 tingkat ini mengandungi 2 bilik darjah, 1 makmal sains, 1 pusat sumber dan 2 buah rumah guru. Seterusnya ditambah lagi dengan 6 buah bilik darjah pada tahun 1984 di bawah Rancangan Projek Kilat. Bilangan murid pada masa itu ialah seramai 943 orang dengan 39 orang guru dan 10 orang kakitangan bukan guru.

 Buat pertama kali pada tahun 1979, kelas Tingkatan IV Sastera telah ditubuhkan. Pada tahun berikutnya pelajar-pelajar tersebut telah mengambil peperiksaan SPM pertama di sekolah ini. Pada tahun 1986, bangunan baru 3 tingkat dan kompleks guru yang mengandungi 20 unit telah dibina dan mula digunakan pada 22 Mei 1989. Pada tahun itu juga, sekolah ini telah mampu menampung semua murid pada sesi pagi sahaja serta membolehkan kegiatan kokurikulum dijalankan sepenuhnya.

Pada 1 Disember 1991, satu kelas Tingkatan IV Sains telah ditubuhkan untuk murid-murid di Pulau Pangkor yang berjumlah 29 orang. Sebuah bilik kebal telah dibina untuk kegunaan Peperiksaan Awam seluruh sekolah di Pulau Pangkor.  Bangunan ini secara rasmi telah diambilalih daripada JKR pada 15 Julai 1992. Pada tahun 1996, bangunan tambahan kompleks guru (10 unit) telah siap untuk diduduki. Seterusnya 3 blok kompleks guru empat tingkat (24 unit) telah dimulakan pembinaannya pada tahun 1997 dan diserahkan kepada pihak sekolah pada Ogos 1998.

Bangunan makmal komputer pula telah dibina pada Ogos 2001 dan diserahkan kepada pihak sekolah pada Januari 2002. Atas cadangan dan persetujuan bersama, pihak sekolah telah menyerahkan 2 blok kompleks guru 2 dan 3 tingkat kepada JPN Perak untuk dijadikan Pusat Kokurikulum Negeri Perak mulai tahun 2001.

Berdasarkan statistik mulai 1997, pelajar SMK Pangkor telah melebihi 1000 orang yang terdiri dari tingkatan peralihan hingga tingkatan lima. Komposisi berdasarkan etnik ialah 55% Cina, 38% Melayu dan 7% India. Latar belakang keluarga adalah majoriti penjaga bekerja sebagai nelayan selain daripada bekerja di pusat pelancongan, sebagai peniaga, membuka bengkel dan lain-lain.

Mulai tahun 2006, kelas mata pelajaran Vokasional (MPV) telah diperkenalkan di SMK Pangkor dengan bilangan pelajar seramai 25 orang. Pelajar-pelajar tersebut akan mengambil mata pelajaran ‘Katering dan Penyajian’ di Tingkatan 4 dan 5 sesuai dengan kedudukan Pangkor sebagai pusat pelancongan.

 

Make a Free Website with Yola.